Persiapan Menyambut Ramadhan

by - May 05, 2019


Assalamualaikum.

Menjelang beberapa jam sahaja lagi, kita akan bertemu dengan tetamu mulia kita iaitu bulan Ramadhan. Semoga Allah menyampaikan kita ke dalam bulan yang mulia ini. Allahumma Aamiin. 

Bagaimana persiapan kita untuk menyambut Ramadhan? 
Cik Ninja pasti, daripada segi zahirnya ada yang sudah bersiap sedia. Rumah sudah dikemas, langsir diganti baru, sarung kusyen pun ditukar sama. Malah, persiapan untuk raya pun hampir selesai. Baju raya juga sudah siap-siap dibeli. 

Ada yang bertanya mengapa terlalu awal membuat persiapan raya? 
Sebenarnya bagi Cik Ninja ia bukanlah persiapan raya, tetapi merupakan antara persiapan di dalam menyambut bulan Ramadhan. Sedarkah kita bahawa bulan Ramadhan ini merupakan tetamu istimewa yang hadir hanya sekali di dalam setahun? Ramadhan merupakan tetamu yang membawa rahmat. Jadi, untuk kita menyambut baik rahmat yang dibawa itu, wajarlah kita mempersiapkan rumah kita di dalam keadaan yang bersedia untuk menyambut tetamu. 

Bayangkan begini. Jika ada kawan-kawan kita ingin datang menziarahi kita di rumah, adakah kita akan membiarkan rumah kita di dalam keadaan bersepah? Apabila kawan kita hampir pulang barulah kita sibuk-sibuk ingin mengemas. Bukankah keadaan itu membuatkan tetamu berasa tidak selesa seolah disuruh pulang dengan segera. 

Nah, begitulah juga keadaannya dalam menyambut Ramadhan. Seharusnya kita bersedia awal-awal lagi. Antara tips yang boleh kita amalkan supaya dapat lebih memberikan tumpuan kepada amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan adalah dengan mempersiapkan segala keperluan raya sebelum bulan Ramadhan lagi. Apabila sudah siap semuanya di awal Ramadhan, tidaklah kalut mencari baju raya di hujung-hujung Ramadhan yang mana sepatutnya lebih banyak dihabiskan untuk amal ibadah. Namun itu hanya sekadar option sahaja. Pilihan di tangan anda.

Mari kita sama-sama muhasabah...

Bagaimana pula dengan persiapan kerohanian aku dalam menyambut Ramadhan?...

Adakah aku sekadar rasa excited, sekadar tak sabar tanpa sebarang persediaan?...

Apakah bulan persediaan Rejab dan Syaaban itu cukup untuk aku mempersiapkan diri?...

Ramai di antara kita mempunyai azam Ramadhan masing-masing. Ada juga yang membuat jadual atau planner khusus untuk bulan Ramadhan. Checklist qiamullail, checklist solat tak tinggal, checklist solat-solat sunat, mengaji, tutup aurat, tidak mencarut, dan sebagainya yang Ma Shaa Allah, Tabarakallah semuanya hebat-hebat belaka. Bersungguh-sungguh nak tambah amalan dan kejar pahala.

Namun terkadang tanpa kita sedar setelah Ramadhan berlalu, kita kembali dengan akhlak yang lama. Checklist Ramadhan entah ke mana. Lisan sudah tidak terjaga. Aurat pula sudah tidak sesempurna di bulan Ramadhan. Malah, ada yang langsung meninggalkan amalan-amalan baik yang sudah dilakukan pada bulan Ramadhan. Mengapakah hal ini boleh terjadi?

Adakah aku melakukan kebaikan hanya kerana bulan Ramadhan?...

Adakah aku ini hamba kepada Ramadhan?...

Tidak salah untuk membuat jadual khusus pada bulan Ramadhan, malah ianya merupakan usaha yang  amat baik. Tetapi, marilah kita sama-sama memperbetulkan niat kita. Sentiasa ingatkan diri kita supaya membuat amal kebaikan kerana Allah, bukan kerana bulan Ramadhan. Semoga dengan niat yang betul itu dapat mendorong kita untuk terus menambah amalan ibadah kita meskipun bukan di dalam bulan Ramadhan. 

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menambah amal kebaikan bukan sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi pada bulan-bulan lain juga. Ingat, jangan jadi hamba Ramadhan. Tetapi jadilah hamba Allah yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan menambah amalan kebaikan untuk mendapat redha-Nya.

Selamat menjalani ibadah puasa dan menunaikan solat sunat tarawih malam ini 😉


*All GIFs in this post credit to Google

You May Also Like

1 Ninja

Leave your love letter!